Nukilan Hati Pengembara


Batu Kalimah "ALLAH" Yang Saya Temui Di Sebuah Pulau
Pembuka Bicara……
Seringkali, air mata menitis betapa indahnya ciptaan Allah S.W.T dan betapa singkatnya kehidupan kita yang perlu kita manfaatkan bersama ummah.
Alhamdulillah.. nukilan ini adalah luahan hati pengembara berdasarkan apa yang telah dilihat serba ringkas, menurut perspektif Islam, Insya Allah.
Moga dengan perkongsian ini, kita mendapat keredhaan Allah S.W.T menuju hakikat kehidupan yang sebenar, Insya Allah…
Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Jumu’ah, ayat ke-10, bermafhum :
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
Batu membentuk kalimah “ALLAH” di atas yang telah ditemui di sebuah pulau, mengingatkan kita betapa Allah S.W.T. Maha Agung serta mengingatkan akan hamba-Nya dengan pelbagai cara bagi membuktikan kewujudan-Nya dan kebesaran-Nya, agar kita senantiasa beringat.
Seringkali kita alpa akan tujuan sebenar kehidupan kita di dunia.
Apakah dunia menjadi tumpuan semata-mata, atau keseimbangan dunia dan akhirat yang kita utamakan…?
Hamparan Awan Nan Indah.... Subhanallah...!

Dari perspektif penerbangan, tanpa keseimbangan, burung tidak dapat terbang.
Daripada burunglah, kita belajar untuk terbang dengan pembinaan pesawat, hingga kita dapat menyaksikan pemandangan hamparan awan nan indah lagi mengasyikkan. Subhanallah…!
"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(Surah Al-Mulk : Ayat ke-19) 
Keindahan Langit Ciptaan ALLAH S.W.T.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Asy-Syura, ayat ke-11 yang bermafhum :
“Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”
Menyusuri Sungai Nan Tenang
Saya pernah menyusuri sebuah sungai seorang diri bersama seorang jurumudi bot. Menyusuri sungai hingga ke muara, menuju ke arah tempat pertemuan sungai dan laut sambil menanti matahari terbenam, sepertimana gambar di atas dan di bawah. Subhanallah…!

Senja di Kota Kinabalu




Mengingatkan kita kepada firman Allah S.W.T. dalam Surah Ar-Rahman, ayat ke-19 dan 20, mafhumnya :

“Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.”


Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W bersabda:
"Tidak terjadi hari kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata "mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu"."
Di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sudah dekat suatu masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu."
Sungai Furat atau Sungai Eufrat ini, terdapat di Iraq. Sebab itulah Iraq, menjadi antara rebutan negara barat selain kaya dengan hasil minyak.
Tasik Garam di Australia
Bersamalah kita beringat akan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-77 yang bermafhum :
“ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagian-mu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Adakah kita memandang sesuatu sekadar suatu pemandangan indah atau kita memandang sesuatu sambil memikirkan kebesaran dan keindahan ciptaan Allah S.W.T.
Sebagaimana dinyatakan dalam Surah Ali Imran, ayat ke-191, mafhumnya :
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.”
Pulau Di Kota Kinabalu
Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
“Berfikir itu anak kunci yang membukakan cahaya yang di dalam hati. Berfikir juga permulaan bagi mata hati. Berfikir juga sebab mendapatkan ilmu dan makrifat”
Kadangkala, ketika kita mengembara atau bermusafir, kita seringkali asyik dengan membeli belah hingga ada kemungkinan, kita lupa untuk menziarahi masjid di tempat tersebut sebagai salah satu lokasi yang perlu kita lawati.
Marilah kita mengingatkan diri kita kepada hadith berikut :
Daripada Abu al-Darda’ r.a., Nabi S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla memberi jaminan kepada orang yang menjadikan masjid seperti rumahnya akan keamanan dan melepasi titian Sirat pada hari kiamat.”
[Hadith Riwayat Al-Bazzar]
Daripada  Buraidah bin al-Husaib al-Aslami r.a., Nabi S.A.W. bersabda :
“Berilah khabar gembira kepada mereka yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid, dengan cahaya sempurna pada hari kiamat.”
[Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi]
Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya
Masjid Di Dubai, UAE
Masjid di Auburn, Sydney, Australia
Kadangkala, kita mungkin terlewat sedikit sampai di masjid, dan kita terkejar-kejar untuk ke saf solat. Suka untuk kita sama-sama renungi…
Dari Abu Hurairah r.a. berkata :
“Saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Jika solat sudah didirikan maka janganlah kamu sekalian mendatanginya dengan terburu-buru tetapi datangilah dengan tenang dalam berjalan. Apapun yang masih dapat kamu kejar, maka solatlah bersama Jemaah, dan apa yang tidak dapat kamu kerjakan bersama jemaah, maka sempurnakanlah sendiri solat itu.”
[Muttafaqun ‘alaih]
Dalam riwayat Muslim, ada tambahan :
“Kerana sesungguhnya jika salah seorang di antara kamu sekalian sudah bermaksud untuk mendatangi tempat solat, maka dia dianggap seperti sudah berada dalam solat.”
Masjid Assyakirin, Dengan Berlatarbelakangkan KLCC
Apabila kita berada di lokasi seperti gambar di atas, adakah kita akan singgah di masjid terlebih dahulu apabila telah masuk waktunya, atau adakah bangunan yang di belakang Masjid Assyakirin tersebut yang kita dahulukan?
Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya,
Dengan Latarbelakang Nan Indah
Jambatan  Di Adelaide, Australia
Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Selangkah demi selangkah, kita kian menghampirinya… pantas mahupun lambat… lancar atau berliku…

Senja Dari Dalam Pesawat
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”
[Surah Al-Ankabut, ayat ke-64]
Semua ini adalah peringatan untuk diri kita khususnya untuk diri ini yang sering bermusafir, melihat sesuatu dari perspektif berlainan, menuju hakikat kehidupan sebenar, yang sering kita alpa.
Moga ini diterima oleh-Nya sebagai amal yang diredhai-Nya, Insya Allah.
Semoga Allah S.W.T. merahmati kita, Insya Allah.
Dari Abu Ad-Darda’ r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud :
“Do’a seseorang muslim kepada saudaranya dengan tanpa sepengetahuan saudaranya itu mustajab. Di kepala seorang muslim itu ada malaikat yang diberi tugas di mana jika dia mendo’akan baik kepada saudaranya, maka malaikat yang diberi tugas itu mengucapkan : “Semoga Allah mengabulkan, dan untukmu juga seperti itu.”
[Hadith Riwayat Muslim]
Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud :
“Allah Ta’ala berfirman : Aku telah sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah terlihat mata siapa pun, tidak pernah terdengar telinga siapa pun, dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia mana pun, dan cubalah kamu baca firman Allah (yang ertinya) : “Maka tidak ada satu jiwa pun yang mengetahui kesedapan mata yang disembunyikan buat mereka.”
[Muttafaqun ‘alaih]
Mimbar Masjid Negara
Alhamdulillah……
Assalaamu`alaikum warahmatullahi wabarokaatuh…